Select Language

Monday, March 26, 2012

Hikmah Puisi Prof. Wan

Jum'at, 24 Februari 2012
Oleh: Dr. Adian Husaini
BUKU kumpulan puisi Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang berjudul “Mutiara Taman Adabi: Kumpulan Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat", (Kota Bharu: Dian Darulnaim, 2003) sudah bertahun-tahun tersimpan diperpustakaan pribadi saya.  Sudah beberapa kali buku ini saya baca.  Ada banyak hikmah yang bisa kita petik dari buku yang diberi kata sambutan oleh salah satu sastrawan terkemuka Malaysia, Mohd Affandi Hassan, ini.

Berikut ini kita petikan sejumlah hikmah yang sarat makna dari sejumlah puisi Prof. Wan Mohd Nor. Saya merasa tidak perlu memberikan syarahan terhadap puisi-puisi berikut ini, karena maknanya cukup gamblang dan jelas, meskipun tetap memerlukan perenungan yang mendalam untuk menghayatinya.
Prof Wan Mohd Nor kini menduduki jabatan penting sebagai Direktur Center for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia. Semoga kita mampu mengambil hikmah untuk menghadapi berbagai tantangan pemikiran yang carut-marut di negeri kita akhir-akhir ini. 

1.    “Puyuh dengan Helang”
Bijak pandai kita pernah mengarang
Ketinggian pokok, hanya diketahui helang
Puyuh tidak mampu terbang, hanya tahu dalamnya hutan
Ilmuwan palsu seperti puyuh di puncak Meranti bertanya helang:
“Kenapa kau bersusah payah membina sarang di atas awan?
Lebih mudah membina rumah di celah semak di atas tanah.”
Helang senyum menjawab senang, tidak gelabah:
“Mataku nan tajam diamanah menjaga alam
Daripada tikus, ular dan perosak sekalian.”
…...
Ilmuwan tiruan seperti puyuh mencuri paruh dan sayap helang
Ijazah berjela, kajian merata, kerusi diduduki tidak terbilang,
Bagi penguasa dan pentadbir yang dilatih mereka semua
Ilmuwan sebegini hanya menjaja nama dan mengulangi kata.
……
Wahai temanku sekalian
Janganlah menjadi ilmuwan palsu tiruan
Syukurilah nikmat Tuhan,  redalah pada-Nya
Jika takdirmu seekor puyuh, lakukan tugasmu patuh setia
Biarlah helang terbang bebas menjaga padang dan taman
Kerana hasadlah iblis Khalid di neraka jahannam. (***)


2.    “Ayatullah Ruhullah Khomeini”
Kejayaanmu amat besar bagi umat kita di akhir zaman
Dengan kata-kata dan bunga kau runtuhkan sebuah Kerajaan
Cengkaman kejam boneka ganas mengguna kuasa emas hitam
Dengan SAVAKnya puluhan ribu pengikutmu terkorban
…..
Aku ingin bertanya gembirakah kau di Sana?
Melihat wilayah faqihmu pegangan ulama gilakan kuasa
Fuqaha kau maksudkan bukan ulama buatan sekarang
Yang mengerti sedikit hadis, hukum dan ayat al-Qur’an.
Sikap melampau: mereka terpenjara dalam mazhab
Ta’assub sangat kepada Ali, mereka lupa akan Muhammad.
…..
Gembirakah kau di Sana melihat republik ciptaan
Semakin matang dalam catur kekuasaan, namun:
Setelah hampir tiga dekad
Semakin ramai kehilangan I’tiqad
Mereka konon menghafal Sadra, Sa’di dan Maulana
Tapi jiwa menyembah Comte, Foucoult, dan Sartre.

Kita harus setia kepada Mustafa dan Tuhannya nan baqa
Apa untungnya terus bertengkar siapa berhak menjadi Raja?
Jika Bu Bakar, Umar, Uthman, A’isyah diragui kalian
Bolehkah kami, yang lebih adna, lebih hina, dibuat kawan? (***)

3.    “Mustafa Kemal Ataturk”
Kejayaan besarmu di medan perang, malang
Menjadi pendorong kegagalanmu di lain bidang
Kau berjaya menjaga kesatuan, menghalau musuh luaran
Kau gagal mengukuh bangsa, menggali khazanah dalaman

Mustafa Kemal, kau tersilap besar menganggap kekuatan Barat
Berdasarkan peluru bedil, kereta kebal, tali leher, membuka aurat
Huruf Latin, kau duga, membantu Eropah menjadi kuat
Lalu kau memaksa rakyat menolak lisan Uthmani, berteras Arab
Berjuta lampu di Sulaymaniyyah dan segenap tempat menjadi gelap
Dalam satu hari kau padamkan cahaya hasilan ilmu puluhan abad
……
Setelah seratus tahun Kemalisme memaksa bangsa meniru orang
Negaramu, walau Eropah dalam pakaian, kebebasan, perundangan,
Namun mereka enggan terima rayuan bangsamu masuk ke dalam
Walau jutaan rakyatmu menyapu jalan di Frankfurt, dan Leiden.
Hajji Baba, Baklava, Kebab Turki begitu laris di kota Paris
Barat masih menganggap bangsama tidak sama, tidak sebaris

Tidakkah kau ingat pesanan Rabbul Jalil bahawa
Yahudi dan kaum Nasara
Tidak akan sekali-kali redha
Dan akan terus mencari helah, buat angkara
Selagi kau enggan menuruti millah mereka

Dan jika kau mengikuti ke lubang biawak, ke sarang lebah
Kau sebenarnya sudah lama menyerah kalah
Lagipun millah mereka sering berubah
Tiada sesuatupun kekal, kecuali nafsu memerintah. (***)

4.    “Bung Karno”
Bung Karno, kau pejuang besar  pemidato unggul seperti Zuhair
Kau, Hatta sekalian kawan menyatu bangsa dari Sabang ke Merauke
Kita bangsa besar dari umat nan agung; namun tidak seperti jagung
Kemerdekaan bukan menghalau musuh dari negeri dan kampung
Kemerdekaan bukan mengibar bendera
Mengingat peristiwa gembira
Kemerdekaan bukan berbarisan berwarna-warni
Berpesta menyanyi mabuk hingga ke pagi

Kemerdekaan mencari makna raison d’etreSebagai insan khalifah Tuhan, mengurus alam semesta
Mencerah hati dari kegelapan kejahilan,
Membebas budi dari kesempitan bakhil, kedayusan
…..
Bung Karno, umat yang besar ini berupaya
Menenggelam benua
Hanya dengan air mata
Jika semua kita
Bersatu dipimpin jantan berakal perkasa
Kita jalinkan semula Kepulauan ini: Putrajaya, Sri Begawan, Jakarta
Dengan persaudaraan ikatan iman dan keadilan berbekas
Yang disemai di Madinah bukanLOndon atau Brussels
Untuk menjadi ikutan, memikul semula  perjuangan terkandas

Aku terfikir nasib bangsa besar Kepulauan ini jika
Kau mendampingi mesra Raniri, Makasari, Natsir , Hamka
Pelbagai kemungkinan indah bermain di kalbu
Menempah sejarah seekor garuda bukan belkatu.

5.    “Agama dan Evolusi”
Jika Aflatun melihat kita
Dia ‘kan menista Darwinis semua
Ribuan tahun panjang usia
Masih menonton bebayang didinding gua
Kejahilan gelap dianggapnya cahaya
Fana yang hapus disangka baqa
…….
Mustafa tiada ‘kan kembali lagi
Khatamun Nabi selesailah misi
Khazanah baginda perlu digali
Abad ketujuh tetap penuh berisi
Tinggal kita mengambil erti

Erti agama pegangan akal
Jiwa dibangun berisi amal
Pantang diisi ikhlas si jubbal
Bukan ciptaan khayalan dangkal
Tapi berakar ilmu dan kamal
Anugerah Khaliq sebagai bekal

Maka wahai yang terpelajar!
Janganlah sombong dan kurang ajar
Agama itu ilmu nan benar
Cahaya terang bersinar-sinar
Bagi menyuluh kembara sukar
Pulang ke pangkuan Khaliq Akbar (***)

6.    “Raden Ajeng Kartini”
Wanita bangsawan Jepara ternyata patut dibagga bangsa
Aku dari jauh terhidu mawar disanggul, betapa wanginya!
…..
Kau sedar kekuatan ilmu membebas jiwa, membina bangsa
Namun, pandanganmu setajam helang, menolak sekerasnya:
Pendidikan yang sibuk melatih anggota, menguat otak
Dan mengabaikan peningkatan adab, lalai mengukuh akhlak!
….
Jika kau hidup pada zamanku ini Raden Kartini
Tentu kau akan banyak menangis, meratapi
Kaummu wanita tidak lagi mahu terbang tinggi
Mencari ilmu, berbakti perbaiki bangsa sendiri.

Mereka mudah mengulangi slogan manis dari Barat
Sering menghina tradisi sendiri kerana tidak mengerti hikmat
Keluarga pecah berkecai kerana ibu-bapa begitu cuai
Anak-anak melepak-liar walau ibu berijazah pandai

Suasana kebangkitan Islam, ramai Hawa ikhlas menutup aurat
Meningkat ilmu ajaran Nabi, hikmat tabi’i difaham tepat
Walau jawatan tinggi di pejabat, suami di rumah disanjung amat
Namun, kerap terjadi, rambut ditudungi rapat, budi rendah sangat;
Lebih menghairankan: yang jahil, hati gelap, enggan dinasihat.
Dada didedah bangga: aku penafsir Kitab, pembela Muslimat!  (***)

7.    “Ilmuwan Tiruan dan Sufi Palsu”…..
Sufastaiyyah membunuh hujah sendiri
Bila menolak mutlak ilmu milik insani
Merosak akal, aqidah, agama, sekalian hikmat anugerah Ilahi
Bila mereka berteriak-gila: “ilmu manusia semuanya nisbi.”
“Hanya Allah yang mutlaq dan ilmu-Nya yang kekal abadi.”

Sungguh bebal sufastaiyyah ini: ilmu yaqini nur minal-Llahi
Walaupun bertempat di akal insani, sumbernya tetap di Alam Suci.

Ilmu syakki membawa jiwa
Meronta-ronta penuh derita.
Tiada tetap berpegang
Setiap masa bergoyang

Sekali ke sini, sekali ke sana berubah sentiasa
Bagai lalang ditiup angin: mudah mengikut telunjuk penguasa.

Ilmu zanni sedikit berbeza: pilihan dibuat tanpa yakin jua
Hanya agak-agakan yang tidak pasti salah benarnya.
Seperti sesetengah umatku ini:
Islam disayanginya tanpa bukti qat’i akli
Akhlak, syariat ditafir, diamal sesuka hati
Menyata cinta pada istri, wanita lain masih dicari.
Mengaku berimamkan Nabi, akhlak mengikut Machiavelli.

8.    “Aku bimbang, khuatir”
….
Aku takut umat kita tidak akan bangkit lagi
Walau ekonomi melambung tinggi
Umatku sibuk membeli saham menjual budi
Anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkat gaji
Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri
Yang sering berubah mengikut pasaran
Pasaran berubah mengikut perasaan
…..
Bagaimana kita akan bangkit semula
Memimpin dunia mendapat syurga?
Jika ibu-bapa pintar melahir anak cuma
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja
Jika guru, pensyarah kehilangan arah
Ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba
Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala
Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar –
Cekap mengubah fakta, meminda makna, mengejar kuasa
Adam akan menyesal
Dan Iblis berkenduri besar.*/Depok, 23 Februari 2012
Penulis, dosen Pasca Sarjana Universitas Ibn Khaldun Bogor. Catatan Akhir Pekan [CAP], adalah kerjasama Radio Dakta 107 FM dan hidayatullah.com

Anda sedang membaca artikel tentang Hikmah Puisi Prof. Wan dan anda bisa menemukan artikel Hikmah Puisi Prof. Wan ini dengan url http://hasyimustamin.blogspot.com/2012/03/hikmah-dari-puisi-prof-wan-mohd-nor.html,anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya jika artikel Hikmah Puisi Prof. Wan ini sangat bermanfaat bagi teman-teman anda,namun jangan lupa untuk meletakkan link Hikmah Puisi Prof. Wan sumbernya.

No comments: